Wednesday, February 3, 2021

Balik pada Nawaitu (tribute to The Wondering Mastikus)

 Ada dua kategori orang yang ajak kita meniaga


1 – ajak kita meniaga sebab dia nak kita senang


2 – ajak kita meniaga sebab dia yang nak senang


Kategori pertama selalunya dia tidak akan memaksa kita. Dia akan faham minat orang tak sama. Kelebihan dan kekurangan manusia itu berbeza sama sekali. Kalau orang itu minat perubatan, takkan kau nak paksa dia berlakon. Kategori pertama selalunya tidak akan berputus asa dan bahasanya lebih sopan dan berhemah.


Kategori kedua selalunya dia jenis memaksa. Blia kita tak boleh buat macam dia buat, dia tuduh kita malas dan banyak alasan. Dia pandang manusia semua sama macam dia. Bagi dia, kalau dia boleh buat, kenapa orang lain tak boleh. Kalau dia boleh jadi doctor dan berlakon at the same time, orang lain mesti boleh buat juga. Kategori kedua bahasanya lebih kepada menyindir dan memandang rendah pada golongan yang tidak seperti dia


Balik pada nawaitu. Itulah cabaran berniaga. Bukan semua orang boleh ikut rentak kita. Jaga tutur bahasa. Nabi Muhammad SAW pun tak pernah paksa orang dengan menyindir, tapi mengajak dengan cara yang sopan. Betul, berniaga itu sunnah Nabi. Tapi sunnah Nabi pun suruh kita bersangka baik.


Balik pada nawaitu.

Saturday, January 16, 2021

MIMPI

 Mimpi,

Antara garis yang jelas,

Di wajah masa lalu yang hilang,

Dan ia terus hilang,

Bagaikan malam yang tiada hentinya,

Menghitung hari,

Menghitung dosa,

Separuh hidup disangka berjaga,

Namun sepenuhnya, 

Kita hanya bermimpi.


Saturday, December 5, 2020

Tale of The Nine Tailed, cerita biasa yang luar biasa

 Tale of the Nine Tailed (The Tale of a Gumiho), sebuah drama Korea yang mengisahkan tentang  Gumiho (Dewa gunung, seekor rubah) yang hidup 600 tahun untuk mencari gadis yang dicintainya untuk hidup kembali. Lee Yeon telah jatuh cinta dengan seorang manusia bernama Ah Eum, dan apabila gadis ini mati, beliau telah melakukan perjanjian dengan penjaga alam “after life” untuk menghidupkan kembali Ah Eum dalam apa jua rupa sekali pun.


Jika dilihat pada jalan ceritanya, drama ini tidak lari dari cerita rakyat mahupun drama korea yang lain. Seorang hero tampan dan berkuasa, jatuh cinta dengan gadis biasa yang bijak, seorang watak jahat yang menggangu kehidupan mereka dan akhirnya, eh, tengoklah sendiri macam mana dia punya ending. Tapi apa yang memberikan kelainan kepada drama ini ialah pengolahan plot yang membuatkan penonton ternanti-nanti apa yang bakal terjadi seterusnya. Walaupun terkadang jalan ceritanya mudah dibaca, tetapi ia tetap membuatkan kita ingin tahu bagaimanakah cara penyampaiannya. Seperti perkara yang kita dah jangka, tapi tak terjangka begitu kejadiannya. Ha, faham tak?


Apa yang buatkan saya tertarik pada drama ini juga ialah pada watak utama yang dilakonkan oleh Lee Dong Wook, iaitu Lee Yeon. Gaya beliau agak berbeza dalam drama ini dan lakonannya juga tidak dull dan tipikal seperti hero romantik yang lain. Elemen lucu juga diterapkan pada karakter Lee Yeon walaupun riaksi wajahnya sering serius dan tegas. Pelakon Kim Bum pula membawa watak Lee Rang, iaitu adik kepada Lee Yeon. Watak Lee Rang ini sesuai digelar watak Grey, yang mana jahat tak jahat, baik tak baik. Kasih sayang seorang abang kepada adiknya juga adalah elemen penting dalam drama ini selain daripada kisah cinta Lee Yeon dan Ah Eum.  


Selain dari watak utama, saya juga tertarik dengan watak antagonis dalam drama ini iaitu Imoogi. Imoogi merupakan satu jiwa atau semangat yang tidak mempunyai badan dan mempunyai kebolehan untuk merasuk dan meminjam tubuh manusia atau dewa lain. Mengambil pandangan kakak saya, (kita curi olah idea dia) terdapat elemen hocrux yang boleh dikaitkan melalui karakter Jia dan Imoogi. Tapi yang ini nanti agak spoiler kalau diceritakan dengan lebih lanjut. Jadi kena tengok dulu, barulah anda tahu apakah persamaan Hocrux dan jiwa Imoogi tersebut.

 

Seperti drama Korea yang lain, drama ini juga tidak lari dari memaparkan keindahan dan keistimewaan negara mereka. Contohnya lokasi pulau yang cantik, makanan yang lazat, serta gaya pemakaian. Barangkali itulah yang membuatkan drama Korea lain dari yang lain apabila mereka berjaya menjadikan drama mereka sebagai satu daya tarikan untuk penonton, terutama penonton dari luar negara untuk menghargai budaya dan tradisi mereka. Drama ini juga bijak menggunakan elemen tersebut sebagai cara untuk memberikan “hint” kepada apa yang bakal berlaku pada babak atau episod seterusnya. 


Jadi, berbaloi atau tidak untuk menonton 16 episod Tale of the Nine Tailed ini? Jika anda mahukan jawapan professional, saya bagi 4 bintang untuk jalan cerita dan pengolahan plot yang menarik membuatkan anda pasti akan tonton beberapa kali pun tidak bosan. Jika anda mahukan jawapan peribadi, tontonlah Lee Dong Wook, pasti anda rasa 16 episod pun tak cukup melihat beliau yang handsome teruk dalam drama ini. 


Friday, November 20, 2020

nampak peduli

Yang kau nampak dia berehat,
Apa yang kau tak peduli,
Dia tidak berhenti bekerja.

Yang kau nampak dia penat,
Apa yang kau tak peduli,
Dia seharian kerah tenaga,

Yang kau nampak dia termenung,
Apa yang kau tak peduli,
Dia sentiasa memikirkan masalah.

Yang kau nampak dia tidur, 
Apa yang kau tak peduli,
Dia tidak pernah lena.

Andai kau nampak apa yang perlu,
Andai kau peduli apa yang patut,
Barangkali erti pengorbanan itu,
Lebih mudah untuk dicapai.

Tuesday, September 8, 2020

Mulan : Percubaan yang terlalu mencuba.


Kalau ditanya pada aku, which one is your favourite Disney Princess. Yes, aku akan pilih Mulan. Kenapa? Sebab watak Mulan paling dekat dengan diri aku. Cuma aku tak pernahlah menyamar jadi lelaki. 😂

Dulu aku selalu berangan nak jadi Mulan. Even aku bercita cita tinggi kalau lah filem Mulan ada buat adaptasi, aku teringin lah nak berlakon jadi Mulan. Memandangkan aku tak ada masa nak pergi audition, so aku terlepas lah nak pegang watak Mulan ni. Aku berharaplah siapa yang pegang watak Mulan tu memang mencapai imaginasi aku.

Setelah menonton filem Mulan, yes, aku rasa watak Mulan tu kena. Actress dia aku tak kenal sangat. Tapi aku rasa serba serbi minah ni berjaya bawa watak Mulan. Dan juga watak watak lain. Walaupun ada sedikit perubahan dari versi animasi, aku still rasa kebanyakkan watak kena dengan peranan masing2. Dua watak yang aku rasa kurang sampai ialah watak Ayah Mulan dengan watak Gong Li. Ayah Mulan aku rasa macam tak nampak seperti war hero atau pun ayah yang tegas. And gong li tak taulah karakter dia ni sebenarnya apa dia nak. Satu yang aku suka watak emperor. Dalam animasi tak nampak macam aura emperor tu sangat. Bila movie ni, barulah aku macam ada rasa, WOW! 

Tapi watak yg best belum cukup untuk menjadikan filem ni best. Bila habis filem ni, aku rasa macam, Eh? Eh? Habis dah. Itu je? Secara keseluruhannya, aku rasa filem ni terlalu mencuba. Mencuba untuk menjadi filem yang lain dari filem asal. Walaupun kita disajikan dengan babak2 yang macam buat kau rasa yeaaah, haha, atau wooo, tapi terlalu sedikit dan tidak mencukupi. Setiap babak ke babak pun macam tergantung. Baru kau nak feeling, dia tukar scene baru. 

Kesimpulannya, aku rasa filem Mulan ni biasa dan tidak begitu enjoyable. Aku tonton sekali cukuplah. Tak ada rasa nak tengok lagi. Mungkin kalau nak pun tengok fighting scene jelah. Jadi berapa bintang? Kita bagi 2 bintang. 

Sekian. 




Wednesday, August 19, 2020

Berhenti kerja

Berhenti kerja?

Yes, tentu yang mengenali aku dah tahu tentang ni. aku dah officially berhenti kerja. bukan mudah, bukan senang. nak buat keputusan yang melibatkan banyak perkara yang hendak dipertimbangkan. ramai kata duit bukanlah segalanya, tapi melihat kepada indahnya ekonomi dunia sekarang, duit kelihatan segalanya. jadi, apa yang membuatkan aku berhenti kerja?

Untuk memudahkan semua memahami apa yang menyebabkan aku membuat keputusan mengejut tersebut, aku cerita sajalah dari awal. 

Semua sedia maklum, dunia sekarang diserang virus yang masih belum ketemu jodohnya dengan vaksin iaitu Covid19. Penangan virus ni sampai kerajaan telah mengambil langkah terkujat iaitu mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan seluruh negara. Masa itu habis semua tak boleh kerja, tak boleh keluar, tak boleh itu ini. Nak keluar pun kena alasan tegar dan berbisa. Ramai yang terkesan akibat PKP ni, terutama syarikat dan peniaga, dari yang kecil sampailah besar.

Tidaklah semua sedia maklum, company tempat aku bekerja ketika itu memang ada sedikit masalah kewangan akibat terkesan dengan ekonomi negara. Dari tarikh 29 bagi gaji, sampai bertangguh ke bulan seterusnya dan seterusnya. Sudahlah terkesan, bila berlaku PKP ni, dia punya kesan lebihlah mendalam. Akhirnya pihak atasan membuat keputusan untuk menolak gaji sehingga 50% semasa PKP berjalan. Dan tidak berhenti di situ sahaja, selepas tamatnya PKP, 20% gaji akan dipotong selama 6 bulan berikutnya. 

Aku yang duduk dirumah masa tu, dah terpinga tak tahu nak buat apa. 50% masa PKP mungkinlah tak ada apa. tapi 20% selepas PKP tu, sakit juga rasanya. 20% tu mungkin di mata orang lain nampak macam sikit, tapi bagi aku yang perlu menghantar anak-anak ke pusat jagaan yang hampir mencecah 1k lebih, bukanlah jumlah yang cantik dilihat. masa itu aku berdoa agar ada rezeki untuk keluarga aku. berharap agar company mungkin tak jadi potong gaji atau adalah untung berniaga bagi menampung keluarga.

Tibalah masanya PKP berakhir, dan digantikan dengan PKPB. masa ni company dah mula suruh orang balik kerja. Di sinilah lahirnya masalah dan konflik yang aku sendiri masa itu tak terfikir macam mana nak settle. Kena mula kerja isnin tapi tadika belum buka lagi. Lepas tadika dah buka pula, tadika ada SOP kena ambil sebelum 6. Sekolah Elly dah tukar timing, persekolahan ada SOP juga. Eh, lupa pula, kira kira gaji tak cukup pula untuk bayar komitmen pusat asuhan. Aduh macam mana ni. Ajak company bincang, company ajak datang bincang. eh, macam mana tu? nak datang bawa anak ke office ke? nanti langgar SOP, company pula kena tutup. pusat asuhan takkan lah baik hati sangat nak jaga anak anak aku for free. siapa pula nak pergi ambil diaorg pukul 6? dalam hati aku fikir, tak boleh ke company offer kerja dari rumah, bayar jelah 50% pun, aku ok je. tapi mungkin TERLALU SUSAH nak buat keputusan tu dalam masa yang singkat, aku terpaksa membuat keputusan sendiri. 

Akhirnya aku hantar surat berhenti, with immediate effect. aku berhenti terus. tanpa fikir panjang. 

sebab apa?

sebab siapa nak jaga anak anak aku? 

simple. 

aku berhenti kerja sebab nak jaga anak anak.

sekian

Tuesday, August 18, 2020

Seasons Change : Sekolah Muzik yang Comel

Seasons Change movie poster.jpg

SAWADIKAP

ok, pendekkan permulaan, ini adalah antara filem yang memberi kesan dalam hidup aku. ingat tak yang 10 filem aku pilih dekat Facebook tu? ha, ini adalah salah satunya. persoalannya, kenapa?

aku dari dulu sebenarnya memang tertarik pada filem muzikal. aku kalau dengar orang pandai main muzik pun boleh menangis. samalah macam kalau aku nampak orang pandai menari atau menyanyi. so, cerita ini tentang seorang lelaki yang jatuh cinta dengan seorang perempuan sehingga sanggup mendaftar masuk kesekolah muzik yang sama untuk mendekati perempuan tersebut. macam biasa, dia masuk senyap senyap sebab ibu bapa dia tak suka dia belajar muzik. simple.

jadi selain dari muzik, apa yang hebat sangat dia memberi kesan dalam hidup aku? tema percintaan remaja itulah yang buat aku (ketika usia menonton filem ini) terkesan. aku terasa betapa sweetnya mamat hero ni sampai sanggup kejar perempuan yang dia suka. cara olahan watak hero ni syok dekat perempuan tu pun buat kau rasa macam best nya kalau betul kau ada crush macam ni. lagi lagi handsome dan boleh main muzik. damn it. itulah impian zaman remaja kan? 

ada satu lagi yang membuatkan aku terkesan dengan kisah cinta mamat ni. seperti biasa, kau rasa macam hero confirm dapat heroin. ye betul. memang itu konsepnya. tapikan, perempuan yang mamat ni kejar awal2 dulu bukanlah heroin. heroin ialah best friend kepada mamat ni. mamat ni cuba belajar dan improve kan diri dia. heroin ni yang banyak tolong. macam biasa juga, best friend dia ni confirmlah jatuh cinta dengan mamat ni. jadi? apa mamat ni buat?

selain dari kisah cinta dan muzikal, penonton juga disajikan dengan lawak2 yang biasa dan tidak terlalu try hard. tapi aku kalau dengar lawak2 seperti ini, memang keluar gelak jantan. HAHAHAHAHA

Kalau korang rasa nak try tengok, tengoklah. terkesan tak korang dengan watak hero ni. 

sekian

Saturday, June 27, 2020

kenapa ibu sensitif

Kepada para ibu, biasa tak terkena dengan kenyataan berbunyi, "janganlah sensitif"

Kenyataan seperti ini biasa terkena pada kaum ibu, lebih lagi selepas kejadian orang lain mencuit anak ibu tersebut, melakukan kekasaran, membawa ke tempat bahaya, melambung tinggi, memberi makanan, dan sebagainya, tanpa meminta izin ibu itu sendiri.

Saya ingin mengajak semua yang baca tulisan saya ini, menghayati bersama.

Pada waktu pagi, pukul berapa selalunya anda bangun? Biasanya awallah, sebab perlu ke kerja. jika tidak bekerja, anda boleh bangun ikut sukakan? Tiada siapa cuba ganggu tidur anda. Kemudian makan. Sarapan, lunch, dinner. Semua pun ikut masa anda juga. Boleh makan bila masa saja yang anda nak. Kalau bekerja, boleh pilih nak makan dengan siapa, dekat mana, dan boleh siap bersembang lagi. Lepas tu, bila rasa letih, boleh curi masa berehat. Dekat mana, waktu bila, rasa nak rehat, rehat saja. Rasa nak tengok movie ke, drama ke, ada HP. Tak tengok semua tu pun, still anda boleh bebas terpaku depan HP. Nak main game, nak sembang, nak usha orang lain, dan dot dot dot. Ikutlah masa anda juga. Dah balik kerja ke, bolehlah mandi dengan aman. Cucilah selagi mahu, dari kepala sampailah ke hujung jari kaki. Siapa nak halang?Kemudian tibalah masa tidur, eh, boleh tidur sesuka hati. Bila ngantuk tidur, bila mengantuk, tak nak tidur pun boleh. Tak perlu risau apa pun. Masa anda yang punya. Bak kata omputeh, you can enjoy your sweet time.

Ibu ada sweet time? Bangun pagi macam mana pun ikut timing anak. Anak bangun, anda pun bangun. Bangun perut lapar pun tak boleh makan lg. Kena sediakan makanan anak2. Dah siap makan, minta benda lain. Sambil mandi kelam kabut keluar masuk bilik air tengok anak ok ke tak. Nak mandi pun ala kadar. Nak tengok hp pun, kena fokus anak anak. Nak buat apa pun, perlu fikir hal anak anak. Konon lepas anak tidur, nak buat kerja. Tapi pun selalunya gagal. Mesti penat atau tertidur walau tak mahu. Belum cerita lagi macam mana bersungguh2 jaga anak siang malam, kerah segala tenaga, dengan setiap hari tak cukup tidur. Kalau saya bertanya pada ibu yang ada, bila last dapat tidur 8 jam sehari tanpa gangguan? mesti tak pernahkan. 

lepas tu bila salah sikit di mata orang, mulalah orang cop kita ni sensitif. Memang dalam dunia teknologi, manusia suka beri perhatian kepada orang lain dari keluarganya sendiri. Khayal dengan dunia "open minded". Sebab tu zaman sekarang, banyak terjadinya bitter heart.

Kalau rasa nak hargai kewujudan orang lain selain para ibu ni, fikirlah pengorbanannya.

Kalau rasa nak usik anak ibu ini, fikirlah kesungguhannya

Kalau rasa tak kisah dan nak enjoy hidup tanpa fikir pengorbanan dan kesungguhan para ibu ni, ingatlah, doa para ibu adalah paling banyak diangkat. 

Kenapa ibu sensitif? Sebab andalah.

Friday, June 19, 2020

Panduan Mendidik Anak

Saya yakin, ramai ibu bapa, terutama yang baru sahaja memiliki cahaya mata, pasti memikirkan bagaimana caranya kita menjadi ibu bapa yang baik. Kita selalu fikir, betul ke cara kita jaga anak kita? macam mana kalau salah cara kita? tak apa ke kita marah marah? boleh ke gunakan kekerasan sedikit?

eh banyaklah lagi persoalan yang bermain di minda sebagai ibu bapa. saya percaya juga, semua nak jadi ibu bapa yang terbaik, dan juga membesarkan anak anak yang terbaik. siapa tak mahu anak anak mereka menjadi insan yang berjaya, dunia dan akhirat. tapi, bagaimanakah caranya? mulalah kita mencari dan menyelidik, dan mencari jawapan tentang panduan mendidik anak.


Panduan Mendidik Anak

Apa itu panduan mendidik anak?

Apa itu panduan?

Apa itu mendidik anak?

Ha, kita bertanya lagi, Persoalan demi persoalan. apa sebenarnya panduan mendidik anak ini. Pernah tak kita terfikir, betul ke ada panduan mendidik anak ni? panduan mendidik anak ni memang betul ke? Sebagai ibu bapa, mesti kita terasa kalau kita lihat anak orang lain boleh bersikap baik, tetapi anak kita nakal. benda tu akan buat kita terasa, apa silap kita ye? dan bagi ada anak yang baik pun, pasti ada terfikir juga, apa sebenarnya yang kita ajar dia sampai dia jadi baik?

Bila kita search "PANDUAN MENDIDIK ANAK", banyak carian dan artikel yang boleh kita perolehi. Pelbagai panduan yang diberikan untuk bacaan ibu bapa.

10 cara melayan anak
10 cara memberi perhatian
10 kesilapan ibu bapa
10 perkataan yang tidak sesuai untuk anak anak
10 aktiviti untuk anak soleh solehah
10 tanda anak anda bijak
10 tanda anak anda memerlukan bantuan

kadang kadang bila terbaca benda macam ni, akan ada ibu bapa yang terfikir.

wah patutlah anak kita bijak

aduh patutlah anak kita nakal

wah patutlah anak dia tu kurang ajar

aduh patutlah anak dia tu baik

Sebenarnyakan, panduan ni, panduanlah. bukan benar-benar boleh diaplikasikan kepada kehidupan anda. Nama pun panduan. samalah macam Pandu kereta. Pandu ikut arah, sampai tak sampai arah tujuan terpulang pada kita. jalan apa yang kita nak tuju. dan tempat yang kita tuju, baik tak baik. dan apa yang kita nak buat dekat tempat kita tuju tu juga terpulang pada kita.

Bayangkan

ada 10 pasangan

setiap pasangan memililiki 1 orang anak

setiap 10 pasangan mempunyai personaliti berbeza

setiap anak kepada pasangan tersebut mempunyai personaliti berbeza

dan setiap keluarga ini mempunyai kehidupan yang berbeza

ada kaya, ada miskin, ada hidup di bandar, ada hidup di kampung, ada hidup di kawasan moden, ada hidup di kawasan tenang, ada bekerja tak ada masa, ada suri rumah, ada hidup bahagia, ada yang masalah keluarga, dan pelbagai ada lagi

jadi, macam panduan itu boleh diguna pakai untuk perbezaan ini? semua orang tak sama, jadi apa yang boleh dijadikan panduan yang sama?

Al Quran kan ada? bacalah balik. guna panduan yang dalam tu kan senang. apa serabut?

Sekian terima kasih

Friday, June 12, 2020

Marriage Story : Kebahagiaan dalam Perpisahan

Kebahagiaan dalam Perpisahan – Marriage Story

“Some people believe holding on and hanging in there are signs of great strength. However, there are times when it takes much more strength to know when to let go and then do it.” – Ann Landers.

Marriage Story, merupakan filem salah satu filem yang menjadi topik perbualan pada tahun 2019. Filem ini bukan sahaja mempunyai barisan pelakon utama yang terkenal dan berbakat, tetapi juga tercalon dalam pelbagai anugerah, terutama sekali Academy Award (Oscar). Seperti yang kita ketahui, tahun 2019, merupakan tahun yang dipenuhi dengan pelbagai filem yang menarik dan menjadi tumpuan para pengkritik filem. Jadi, mengapakah filem yang ditayangkan khas di Netflix ini telah mencuri perhatian ramai? Hal ini kerana Noah Baumbach, pengarah filem tersebut telah membawa isu perceraian dari sudut pandang kedua watak utamanya iaitu Charlie dan Nicole.

Perceraian bukanlah sesuatu yang ingin kita lihat terutama dalam sebuah filem romantik. Isu perceraian juga dilihat bersimpang dengan tajuk filem itu sendiri iaitu Marriage Story. Sudah pasti ramai yang menyangka filem ini mengenai kisah alam perkahwinan, tetapi sebenarnya adalah kisah proses perceraian yang dilalui oleh pasangan insan seni yang kelihatan sempurna namun mengalami masalah tersendiri. Perceraian antara Charlie dan Nicole menjadi agak rumit apabila melibatkan tuntutan hak penjagaan anak mereka iaitu Henry.

Seringnya filem romantik atau percintaan diakhiri dengan perkahwinan. Namun begitu, filem ini dimulakan dengan sebuah perkahwinan yang telah pun berakhir. Pada pandangan saya, filem ini tidaklah begitu rumit dan tidak mengelirukan. Isu dan konfliknya mudah dan difahami, tetapi filem ini berjaya membawa penonton bersama memahami bagaimana kedua watak utama dalam menghadapi perceraian mereka. Pengarah cuba membuatkan agar penonton memahami perasaan Charlie dan Nicole, dan tidak hanya berat sebelah kepada satu pihak sahaja.

Pada awal filem, Nicole dan Charlie mengambil giliran untuk memberitahu apa yang disukai antara satu sama lain semasa menghadiri kaunseling perkahwinan. Pada awalnya juga diperlihatkan mereka berdua begitu bahagia dan memahami antara satu sama lain. Namun begitu kebahagiaan itu tetap membawa kepada perpisahan dan masalah dalam rumah tangga yang serius. Walaupun pada mulanya juga Nicole dan Charlie ingin melakukan proses perceraian secara aman, tetapi akhirnya mereka berdua menjadi terdesak sehingga segala keburukkan di dalam perkahwinan mereka diutarakan semasa perbicaraan kes mahkamah. Hal ini membuktikan mengapa perceraian adalah sesuatu yang sukar untuk dihadapi oleh semua orang kerana perasaan terdesak itu membuatkan seseorang itu bertindak luar kawalan untuk mendapatkan apa yang diinginkan. Dalam kes Nicole dan Charlie, ialah hak penjagaan anak mereka, Henry.

Perceraian sering dikaitkan dengan perasaan benci antara pasangan, Nicole dan Charlie masih lagi dilihat menyayangi antara satu sama lain. Kesungguhan Charlie untuk memberikan komitmen dalam hal penjagaan anak serta terkadang dilihat memujuk Nicole dapat dikaitkan dengan rasa sesal dan kehilangan. Apabila kita berdepan dengan rasa kehilangan, kita mula bertindak untuk menghargai apa yang ada disekeliling kita. Nicole pula walaupun beliau yang meminta cerai, namun kadang gayanya yang masih memanggil Charlie seperti pasangan yang masih bercinta, juga dapat dikaitkan dengan rasa sukar untuk meneruskan kehidupan. Hal ini sering berlaku terutamanya kepada kaum wanita yang sukar untuk menghadapi perceraian kerana takutkkan kehidupan sendiri tanpa pasangan.

Walaupun pengarah memaparkan dari dua sudut pandangan yang berbeza, dapat dilihat kemenangan berpihak kepada Nicole kerana sikap Charlie yang agak merendahkan Nicole sebagai isteri. Terdapat beberapa babak yang menunjukkan Charlie suka bersikap dominan dan mengawal keadaan sebagai seorang ketua keluarga. Namun begitu sikapnya sebegitu seakan merendahkan Nicole serta tidak menghargai pengorbanan Nicole untuk meninggalkan kariernya dan menyokong Charlie dalam bidang teater. Hal ini juga diceritakan oleh Nicole kepada peguamnya, Nora. Beliau menjelaskan bahawa Charlie sering mementingkan diri sendiri terutama dalam bidang yang mereka ceburi. Charlie hanya ingin fokus pada pengurusan pentas teaternya dan tidak pernah bertanyakan apa yang Nicole inginkan. Charlie juga dilihat tidak mahu Nicole mengembangkan kariernya sebagai pelakon kerana beranggapan dirinya lebih berbakat daripada Nicole. Watak Charlie ini antara contoh golongan Patriaki. Patriaki adalah sistem sosial yang mengutamakan lelaki sebagai kaum yang berkuasa dan dominan. Bertentangan dengan feminisme, ideologi Patriaki adalah lebih memihak kepada lelaki sehingga terkadang merendahkan kaum wanita.

Pada pandangan saya, kekuatan filem ini terletak pada watak Nicole dan Charlie. Walaupun saya lihat tiada keserasian antara pelakon Scarlet Johansson dan Adam Driver, tetapi ketidak serasian ini serba sedikit membantu dalam menghayati konflik perceraian watak yang mereka lakonkan. Walaupun Nicole dan Charlie menyayangi antara satu sama lain, namun begitu objektif perkahwinan itu sendiri bukanlah hanya berteraskan rasa cinta sahaja. Seperti biasa kita lihat apabila dua selebriti sama cantik, sama padan, dan kemudian berkahwin, akhirnya bercerai akibat masalah yang tidak dapat diselesaikan. Begitulah juga dapat dikaitkan dengan Nicole dan Charlie. Walaupun Nicole seorang isteri yang cantik, Charlie pernah berlaku curang pada Nicole. Keserasian mereka juga dilihat agak mustahil apabila Nicole dilihat lebih suka menunjukkan emosi manakala Charlie pula memilih untuk berahsia tentang perasaannya.

Semasa menonton filem ini, terdapat juga perasaan seperti menonton dokumentari mengenai kisah benar perceraian dua selebriti terkenal. Walaupun pada awalnya ada sedikit rasa jemu menanti apa yang bakal berlaku seterusnya, pada pertengahan filem berjaya membuatkan saya untuk menonton sehingga akhir. Konflik antara Nicole dan Charlie membuatkan saya ingin tahu adakah pada akhirnya mereka bersama kembali atau bercerai juga. Bagaimana hubungan antara keluarga mereka? Adakah anak mereka terkesan dengan konflik yang dihadapi? Secara keseluruhannya, filem ini membawa isu yang jelas, ideologi yang normal dan naratif yang mudah difahami tetapi teknik olahan cerita yang berbeza dan menarik berjaya menjadikan filem Marriage Story lain dari yang lain. Konflik watak juga membuatkan saya tertanya dan bersetuju dengan pengakhiran filem ini yang membuktikan bahawa terkadang kita bisa temu kebahagiaan dalam perpisahan.

#KritikFilemUTAM

Tuesday, June 9, 2020

Rasa Sakit

Terkadang rasa sakit,
Membuat kita tersedar,
Membawa kita pada rasa tahu,
Akan kehidupan ini sulit.

Biar apa pun rasa sakit,
Simpanlah rasa sayang,
Kenangkanlah rasa cinta,
Di mana kita mampu bersatu,
Walau gelap jalan berliku,
Namun hati terang selalu.

SEHARIAN

 Seharian menunggu, tiada sesaat yang membuatkan kan aku merasa lebih tua. Sejak terakhir aku mengelih, kepedihan itu berlalu segala pemboho...