Saturday, December 5, 2020

Tale of The Nine Tailed, cerita biasa yang luar biasa

 Tale of the Nine Tailed (The Tale of a Gumiho), sebuah drama Korea yang mengisahkan tentang  Gumiho (Dewa gunung, seekor rubah) yang hidup 600 tahun untuk mencari gadis yang dicintainya untuk hidup kembali. Lee Yeon telah jatuh cinta dengan seorang manusia bernama Ah Eum, dan apabila gadis ini mati, beliau telah melakukan perjanjian dengan penjaga alam “after life” untuk menghidupkan kembali Ah Eum dalam apa jua rupa sekali pun.


Jika dilihat pada jalan ceritanya, drama ini tidak lari dari cerita rakyat mahupun drama korea yang lain. Seorang hero tampan dan berkuasa, jatuh cinta dengan gadis biasa yang bijak, seorang watak jahat yang menggangu kehidupan mereka dan akhirnya, eh, tengoklah sendiri macam mana dia punya ending. Tapi apa yang memberikan kelainan kepada drama ini ialah pengolahan plot yang membuatkan penonton ternanti-nanti apa yang bakal terjadi seterusnya. Walaupun terkadang jalan ceritanya mudah dibaca, tetapi ia tetap membuatkan kita ingin tahu bagaimanakah cara penyampaiannya. Seperti perkara yang kita dah jangka, tapi tak terjangka begitu kejadiannya. Ha, faham tak?


Apa yang buatkan saya tertarik pada drama ini juga ialah pada watak utama yang dilakonkan oleh Lee Dong Wook, iaitu Lee Yeon. Gaya beliau agak berbeza dalam drama ini dan lakonannya juga tidak dull dan tipikal seperti hero romantik yang lain. Elemen lucu juga diterapkan pada karakter Lee Yeon walaupun riaksi wajahnya sering serius dan tegas. Pelakon Kim Bum pula membawa watak Lee Rang, iaitu adik kepada Lee Yeon. Watak Lee Rang ini sesuai digelar watak Grey, yang mana jahat tak jahat, baik tak baik. Kasih sayang seorang abang kepada adiknya juga adalah elemen penting dalam drama ini selain daripada kisah cinta Lee Yeon dan Ah Eum.  


Selain dari watak utama, saya juga tertarik dengan watak antagonis dalam drama ini iaitu Imoogi. Imoogi merupakan satu jiwa atau semangat yang tidak mempunyai badan dan mempunyai kebolehan untuk merasuk dan meminjam tubuh manusia atau dewa lain. Mengambil pandangan kakak saya, (kita curi olah idea dia) terdapat elemen hocrux yang boleh dikaitkan melalui karakter Jia dan Imoogi. Tapi yang ini nanti agak spoiler kalau diceritakan dengan lebih lanjut. Jadi kena tengok dulu, barulah anda tahu apakah persamaan Hocrux dan jiwa Imoogi tersebut.

 

Seperti drama Korea yang lain, drama ini juga tidak lari dari memaparkan keindahan dan keistimewaan negara mereka. Contohnya lokasi pulau yang cantik, makanan yang lazat, serta gaya pemakaian. Barangkali itulah yang membuatkan drama Korea lain dari yang lain apabila mereka berjaya menjadikan drama mereka sebagai satu daya tarikan untuk penonton, terutama penonton dari luar negara untuk menghargai budaya dan tradisi mereka. Drama ini juga bijak menggunakan elemen tersebut sebagai cara untuk memberikan “hint” kepada apa yang bakal berlaku pada babak atau episod seterusnya. 


Jadi, berbaloi atau tidak untuk menonton 16 episod Tale of the Nine Tailed ini? Jika anda mahukan jawapan professional, saya bagi 4 bintang untuk jalan cerita dan pengolahan plot yang menarik membuatkan anda pasti akan tonton beberapa kali pun tidak bosan. Jika anda mahukan jawapan peribadi, tontonlah Lee Dong Wook, pasti anda rasa 16 episod pun tak cukup melihat beliau yang handsome teruk dalam drama ini. 


No comments:

Post a Comment

SEHARIAN

 Seharian menunggu, tiada sesaat yang membuatkan kan aku merasa lebih tua. Sejak terakhir aku mengelih, kepedihan itu berlalu segala pemboho...