Friday, June 12, 2020

Marriage Story : Kebahagiaan dalam Perpisahan

Kebahagiaan dalam Perpisahan – Marriage Story

“Some people believe holding on and hanging in there are signs of great strength. However, there are times when it takes much more strength to know when to let go and then do it.” – Ann Landers.

Marriage Story, merupakan filem salah satu filem yang menjadi topik perbualan pada tahun 2019. Filem ini bukan sahaja mempunyai barisan pelakon utama yang terkenal dan berbakat, tetapi juga tercalon dalam pelbagai anugerah, terutama sekali Academy Award (Oscar). Seperti yang kita ketahui, tahun 2019, merupakan tahun yang dipenuhi dengan pelbagai filem yang menarik dan menjadi tumpuan para pengkritik filem. Jadi, mengapakah filem yang ditayangkan khas di Netflix ini telah mencuri perhatian ramai? Hal ini kerana Noah Baumbach, pengarah filem tersebut telah membawa isu perceraian dari sudut pandang kedua watak utamanya iaitu Charlie dan Nicole.

Perceraian bukanlah sesuatu yang ingin kita lihat terutama dalam sebuah filem romantik. Isu perceraian juga dilihat bersimpang dengan tajuk filem itu sendiri iaitu Marriage Story. Sudah pasti ramai yang menyangka filem ini mengenai kisah alam perkahwinan, tetapi sebenarnya adalah kisah proses perceraian yang dilalui oleh pasangan insan seni yang kelihatan sempurna namun mengalami masalah tersendiri. Perceraian antara Charlie dan Nicole menjadi agak rumit apabila melibatkan tuntutan hak penjagaan anak mereka iaitu Henry.

Seringnya filem romantik atau percintaan diakhiri dengan perkahwinan. Namun begitu, filem ini dimulakan dengan sebuah perkahwinan yang telah pun berakhir. Pada pandangan saya, filem ini tidaklah begitu rumit dan tidak mengelirukan. Isu dan konfliknya mudah dan difahami, tetapi filem ini berjaya membawa penonton bersama memahami bagaimana kedua watak utama dalam menghadapi perceraian mereka. Pengarah cuba membuatkan agar penonton memahami perasaan Charlie dan Nicole, dan tidak hanya berat sebelah kepada satu pihak sahaja.

Pada awal filem, Nicole dan Charlie mengambil giliran untuk memberitahu apa yang disukai antara satu sama lain semasa menghadiri kaunseling perkahwinan. Pada awalnya juga diperlihatkan mereka berdua begitu bahagia dan memahami antara satu sama lain. Namun begitu kebahagiaan itu tetap membawa kepada perpisahan dan masalah dalam rumah tangga yang serius. Walaupun pada mulanya juga Nicole dan Charlie ingin melakukan proses perceraian secara aman, tetapi akhirnya mereka berdua menjadi terdesak sehingga segala keburukkan di dalam perkahwinan mereka diutarakan semasa perbicaraan kes mahkamah. Hal ini membuktikan mengapa perceraian adalah sesuatu yang sukar untuk dihadapi oleh semua orang kerana perasaan terdesak itu membuatkan seseorang itu bertindak luar kawalan untuk mendapatkan apa yang diinginkan. Dalam kes Nicole dan Charlie, ialah hak penjagaan anak mereka, Henry.

Perceraian sering dikaitkan dengan perasaan benci antara pasangan, Nicole dan Charlie masih lagi dilihat menyayangi antara satu sama lain. Kesungguhan Charlie untuk memberikan komitmen dalam hal penjagaan anak serta terkadang dilihat memujuk Nicole dapat dikaitkan dengan rasa sesal dan kehilangan. Apabila kita berdepan dengan rasa kehilangan, kita mula bertindak untuk menghargai apa yang ada disekeliling kita. Nicole pula walaupun beliau yang meminta cerai, namun kadang gayanya yang masih memanggil Charlie seperti pasangan yang masih bercinta, juga dapat dikaitkan dengan rasa sukar untuk meneruskan kehidupan. Hal ini sering berlaku terutamanya kepada kaum wanita yang sukar untuk menghadapi perceraian kerana takutkkan kehidupan sendiri tanpa pasangan.

Walaupun pengarah memaparkan dari dua sudut pandangan yang berbeza, dapat dilihat kemenangan berpihak kepada Nicole kerana sikap Charlie yang agak merendahkan Nicole sebagai isteri. Terdapat beberapa babak yang menunjukkan Charlie suka bersikap dominan dan mengawal keadaan sebagai seorang ketua keluarga. Namun begitu sikapnya sebegitu seakan merendahkan Nicole serta tidak menghargai pengorbanan Nicole untuk meninggalkan kariernya dan menyokong Charlie dalam bidang teater. Hal ini juga diceritakan oleh Nicole kepada peguamnya, Nora. Beliau menjelaskan bahawa Charlie sering mementingkan diri sendiri terutama dalam bidang yang mereka ceburi. Charlie hanya ingin fokus pada pengurusan pentas teaternya dan tidak pernah bertanyakan apa yang Nicole inginkan. Charlie juga dilihat tidak mahu Nicole mengembangkan kariernya sebagai pelakon kerana beranggapan dirinya lebih berbakat daripada Nicole. Watak Charlie ini antara contoh golongan Patriaki. Patriaki adalah sistem sosial yang mengutamakan lelaki sebagai kaum yang berkuasa dan dominan. Bertentangan dengan feminisme, ideologi Patriaki adalah lebih memihak kepada lelaki sehingga terkadang merendahkan kaum wanita.

Pada pandangan saya, kekuatan filem ini terletak pada watak Nicole dan Charlie. Walaupun saya lihat tiada keserasian antara pelakon Scarlet Johansson dan Adam Driver, tetapi ketidak serasian ini serba sedikit membantu dalam menghayati konflik perceraian watak yang mereka lakonkan. Walaupun Nicole dan Charlie menyayangi antara satu sama lain, namun begitu objektif perkahwinan itu sendiri bukanlah hanya berteraskan rasa cinta sahaja. Seperti biasa kita lihat apabila dua selebriti sama cantik, sama padan, dan kemudian berkahwin, akhirnya bercerai akibat masalah yang tidak dapat diselesaikan. Begitulah juga dapat dikaitkan dengan Nicole dan Charlie. Walaupun Nicole seorang isteri yang cantik, Charlie pernah berlaku curang pada Nicole. Keserasian mereka juga dilihat agak mustahil apabila Nicole dilihat lebih suka menunjukkan emosi manakala Charlie pula memilih untuk berahsia tentang perasaannya.

Semasa menonton filem ini, terdapat juga perasaan seperti menonton dokumentari mengenai kisah benar perceraian dua selebriti terkenal. Walaupun pada awalnya ada sedikit rasa jemu menanti apa yang bakal berlaku seterusnya, pada pertengahan filem berjaya membuatkan saya untuk menonton sehingga akhir. Konflik antara Nicole dan Charlie membuatkan saya ingin tahu adakah pada akhirnya mereka bersama kembali atau bercerai juga. Bagaimana hubungan antara keluarga mereka? Adakah anak mereka terkesan dengan konflik yang dihadapi? Secara keseluruhannya, filem ini membawa isu yang jelas, ideologi yang normal dan naratif yang mudah difahami tetapi teknik olahan cerita yang berbeza dan menarik berjaya menjadikan filem Marriage Story lain dari yang lain. Konflik watak juga membuatkan saya tertanya dan bersetuju dengan pengakhiran filem ini yang membuktikan bahawa terkadang kita bisa temu kebahagiaan dalam perpisahan.

#KritikFilemUTAM

No comments:

Post a Comment

SEHARIAN

 Seharian menunggu, tiada sesaat yang membuatkan kan aku merasa lebih tua. Sejak terakhir aku mengelih, kepedihan itu berlalu segala pemboho...