Wednesday, September 22, 2021

Wanita di jendela itu

 Aku lihat wanita itu,

Raut wajanya, bagai tidak dimamah usia,

Tapi senyum dan tawanya, bagai ada sesuatu, 

Yang disembunyikan, yang dipendam sendiri.


Aku ingin mengenali wanita itu,

Hati ini mahu membantu,

Jiwa ini mahu bersatu,

Walau bukan atas kemampuanku.


Benarkan aku bertanya,

Berikanlah aku peluang,

Duduk dengarkan janjiku,

Untuk menyayangimu,

Seperti yang kau mahu,


Itulah bicara,

Yang ingin didengari,

Oleh setiap wanita

Yang duduk di jendela itu.


Wednesday, June 9, 2021

kegilaan itu

 



Dia cukup gila pada irama,

Bila terdengar saja,

Mulalah dia dengan gilanya.

 

Dia angguk angguk kepala,

Dia goyang goyang bahu,

Dia hentak hentak kaki,

Dia gerak gerak lutut,

Dia ayun ayun tangan.

 

Memang dia cukup cinta,

Pada setiap nota nota yang tercipta,

Bagi dia alunan itulah jiwanya,

Tapi itu hanya impian semata,

Kerana itu dia gila,

Dan terus dengan kegilaannya.

Tuesday, June 8, 2021

Gadis di Tangga Library (tribute to The Wondering Mastikus)

 "Nak kemana tu Ezad?" tegur Haziq

"Library." Ezad menjawab sambil mengemas begnya.

"Mak aih. Makin lama, makin handsome kau ke library. Boleh tumpu study tak kat situ?" Haziq ketawa berdekah tanda mengusik.


Ezad hanya senyum dan menggelengkan kepala. Tak perlu layan lawak tak berapa menjadi pengaruh rakan sebaya ni. Apa yang penting, kenyataan berbaur kebenaran yang menjelaskan Ezad "makin handsome" itu. Memang itu yang nak didengar. Kalau boleh senyum ke telinga, barangkali telinga pun sambung senyum sampai ke kaki.


Sejak dari hari pertama menjejakkan kaki ke perpustakaan kolej, mata Ezad hanya tertumpu pada seorang gadis yang suka duduk di tangga. Tak pasti dia tengah tunggu siapa. Tapi dia akan duduk di situ, Masa kali pertama Ezad nampak dia, dia seperti sedang menunggu seseorang. Tapi makin lama, Ezad nampak gadis itu mesti ada buku tersedia di ribanya untuk dibaca. Lama betul dia menunggu. Takkan dia suka baca buku di tangga sahaja.


Ezad selalu berpura pura masuk perpustakaan dulu. Kemudian akan keluar membawa buku yang dipinjam, yang kononnya akan dibaca bila balik ke asrama nanti. Puihhh...tak adanyalah kan. Selagi tiada assignment, kentut pun belum tentu berbau, inikan pula buku hendak dibaca. Selepas selesai drama pinjam meminjam itu, Ezad pun akan berdiri di tiang sebelah tangga, tidak jauh beberapa langkah dari gadis itu. Cukup jaraknya untuk "usha" kata orang. Kemudian, selepas cantik kawasan berdiri itu, Ezad akan memulakan drama membaca buku yang dipinjam.


"Hai, kita sama sama muda. Jom berkenalan"

Tak boleh, tak boleh. Ayat ini terlalu menggatal.


"Assalamualaikum, malam semalam bila saya pejam mata, saya rasa tak boleh nak pejam. Sebab bila pejam, saya tak nampak awak....ha ha...chia chia chia"

Nampak macam boleh jadi ayat ini. Nak cuba lah.

Ezad pejam mata, tarik nafas dalam dalam, angan angan seperti puteri sudah menunggu di balkoni, dah putera raja datang menunggang kuda lalu menghulurkan tangannya di musim panas. Matanya dibuka....


Wey, alamak, dia usha balik. DIA PANDANG, DIA PANDANG!


Ezad berlari, berpusing-pusing setempat, kemudian terus menuju ATM berdekatan. Alahai, bukan ada duit nak bawa keluar. Buat buat lah cek baki.


Selesai memeriksa baki yang sedia ada kosong, Ezad melihat gadis itu telah berlalu. Terlepas lagi peluang untuk berbual. Kenapa selalu begini. Kalau tidak menggelabah, ada saya yang lalui dan kerumum seperti sibuk nak melihat Ezad dan gadis itu berbual.


Sukar juga nak mula kan perbualan. Salam perkenalan yang pelbagai cara. Sekadar Hello bak kata Janna Nick, bisa membuatku gamam, dengan senyuman, aku bagai dikayangan. Mungkin saja gadis itu sebenarnya khayalan? Ya Allah, mungkin kah ini hanya mimpi?


Hari yang berikutnya, Ezad mencuba pula membaca doa doa. Manalah tahu itu jelmaan puteri bunian. Barnagkali gadis ini dihantar oleh mak yang suruh aku belajar, tapi aku malas pinjam buku tapi tak baca. Ha, begitu sekali jauhnya pemikiran Ezad. Ezad mula terkumat kamit membaca, mula memejam mata, dan dibuka matanya.



Ha, dia tengok lagi. DIA SENYUM PULA! ALIF BA TA, ALIF BA TA, ALIF BA TA.


Ezad berpusing pusing setempat lagi. Kali ini dia tidak tahu nak buat apa. ATM rosak pula. Matanya memandang ke lampu. Seperti lampu majlis berkelip kelip. Ezad memandang ke arah perpustakaan. Tak keruan pula jadinya. Ezad pusing ke belakang, seperti biasa, gadis itu hilang dari tangga itu. Ezad menarik nafas dalam.



Eh, apa tu. Ezad melihat buku yang sering dibawa oleh Gadis itu tertinggal di atas tangga. Buku Romeo and Juliet by William Shakespeare terbiar begitu sahaja. Hai, tak sayang buku ke. Di atas buku itu ada pula sekeping kertas bagai surat cinta rasanya. Ezad tidak menaruh harapan, perlahan lahan Ezad membaca apa yang tertulis.


"Sampai bila Juliet nak tunggu ditangga Library ni untuk Romeo mulakan bicara dulu?"


Ezad mulai berfikir. Untuk akukah pesanan ini. Ezad melihat di belakang kertas itu.


"Hana, 0124343405"


Ezad melompat lompat. Sungguh yakin tiada siapa melihat. Ezad menari seakan tiada siapa yang mengerti apa yang dirasakan sekarang.


Tiba tiba ada yang menepuk bahunya. Ezad terkejut dan terkedu.


"Saya nak buku saya balik boleh?" Hana tersenyum sambil menghulurkan tangannya.


Kali ini, saya tak akan lepaskan peluang lagi. "Hai, saya Ezad"


"Hai, saya tahu." Hana dan Ezad tersenyum.





aku suka cerita apa?

To sum up my kind of favourite movie with my kind of favourite dialogue

"Ah, how shall I do it? Oh, I know. I'll turn him into a flea, a harmless, little flea, and then I'll put that flea in a box, and then I'll put that box inside of another box, and then I'll mail that box to myself, and when it arrives...I'll smash it with a hammer! It's brilliant, brilliant, brilliant, I tell you! Genius, I say! Or, to save on postage, I'll just poison him with this."

Im not a serious person and i don't like logic.

😁

Friday, June 4, 2021

bau hujan

Pernahkah kau bau hujan?
Bau basah,
Bau kuyup, 
Bau daun daun bersimbah.

Aku suka bau hujan,
Hujan bangunkan mimpi,
Hujan itu membasuh sedu,
Hujan itu memurni safil.

Aku suka bau hujan,
Kerana hujan memberikan aku kewarasan.

#projekmastikus 

Tuesday, May 25, 2021

Aku Tulis

 Aku tulis,

Tulis guna kepala,

Tulis guna hati,

Bukan saja tulis,

Ikut emosi, ikut benci.


Aku tulis,

Dengan ruang yang ada,

Dengan alat yang tersedia,

Dengan segala muka surat kosong,

Aku tulis, aku isi.


Aku tulis,

Untuk memberitahu,

Untuk mengkhabar,

Untuk belajar dan mempelajari,

Untuk semua dan diri sendiri.


Aku tulis,

Walau caranya sukar,

Walau ia menyakitkan,

Walau tiada yang membantu,

Walau ada yang mengabaikan.


Aku berjanji,

Aku akan tulis,

Tetap akan tulis.


Saturday, April 24, 2021

Perspektif

 Maklumkah kita,

Kita bertunas di dunia yang kecil,

Walau jauh kita mengembara,

Berbalik andun, dan berbalik kembali,

Tiada apa yang berbeza,

Sarwa yang ada,

Tetap sama.


Apa yang beza,

Cara dan gaya,

Satu-satu ain yang melihat,

Pandangan yang diberi,

Menerbitkan perspektif,

Yang asing dan unik,

Bagi akal yang mentafsir.


Tuesday, March 16, 2021

Penat

 Rengsa,

Lelah sangat,

Sembarang saja yang hirau,

Kau? Kamu? Dia?

Jerih,

Lesu dengan seluruhnya,

Tapi siapa yang acuh,

Aku payah, aku payah sendiri,

Bukan ada yang meringankan,

Bukan ada yang menyantuni,

Sedu, mengah,

Tersedu-sedu seorang diri,

Kerana rimpuh,

Siapa peduli?

Tiada.

Semua pun pentingkan diri,

Semua pun penat,

Penat dengan duniawi.


Monday, March 15, 2021

pantun #projekmastikus

 Ruginya nelayan ke sungai berakit,

Melempar pancing tidak berumpan, 

Ruginya kambing menanduk bukit,

Hasilnya tiada, musnah harapan.


Sekadar meluah rasa hati tentang sesuatu yang sia sia.


sekian

Monday, March 8, 2021

Kadang

 Kadang kau jerih,

Tapi tak mampu rebah.

Kadang kau layu,

Tapi tak mampu beradu.

Kadang kau gering, 

Tapi tak mampu dirawat.

Kadang kau mahu berperi, 

Tapi kau hanya mampu hening.

Kerana yang kisah,

Tiada

#projekmastikus

1.37am

9/3/2021

Saturday, February 6, 2021

nak kejar balik minat?

Sedar tak sedar, dah 3 movie review mendapat ruang di Dewan Budaya. Saja nak berkongsi pengalaman. Masa tulis review ni, dan review2 yang bakal mendatang, semua pun aku buat sambil menjaga anak. Ada masa guna sebelah tangan sahaja menulis di laptop sambil sebelah lagi mendukung Hayden, dan meriba, menyusukan beliau. Belum ditambah lagi dengan Elly yang tiba2 ajak bermain, ajak bersembang inginkan perhatian. Tapi bila difikirkan saya sentiasa utamakan anak2, Alhamdulillah, berjaya juga siapkan penulisan dengan baik.

Teringat pula zaman Diploma dan Ijazah. Zaman diploma mungkin tidak mencabar seperti ijazah, tapi masih lagi ada perit dan pedih yang perlu ditanggung. Aku siapkan kerja, tugasan, semua atas usaha sendiri. Tak ada siapa usik, tak ada siapa pun tolong. Aku dari dulu suka buat kerja tanpa campur tangan orang lain. Aku bukanlah nak riak. Tapi aku antara yang berjaya dapat markah tinggi hampir setiap subjek. Aku bangga sebab semua tu hasil usaha sendiri. Bukan orang lain yang tolong buatkan. Aku belajar, aku kaji, aku buat research utk hasil yang terbaik. Antara saksi aku belajar dari awal pagi, sampai ke tengah malam adalah housemate aku zany. And aku tak pernah abaikan sesiapa yang perlukan pertolongan. Aku faham perasaan bagaimana kau rasa buntu tak ada siapa nak bantu. Aku pernah berjaga sampai 2 3 pagi tolong kawan2 dengan assignment diaorang. Aku tak pernah minta duit. Cukuplah maggie atau McDonald. Kawan2 aku je yang tahu. 

Tapi yang indah tu ada peritnya. Ada pernah dapat markah tinggi orang kata sebab pensyarah kenal mak aku. Ada pensyarah kata assignment aku mak aku yang buat. Ada pernah assignment aku ramai orang tiru dan copy paste, tapi aku yang kena tuduh tiru orang. Aku pernah final work hilang sampai kena gagal dan repeat subject, walhal pensyarah tu kata aku best student utk subject dia. Aku penah kena paksa praktikal benda yang aku x nak buat sedangkan aku dapat peluang utk praktikal tempat yang aku nak. Aku mencari duit sendiri utk ulang alik finas, filem negara, fakulti hanya untuk projek orang lain. Aku pernah "fainted" sebab terlalu penat akibat migrain setiap hari. Dan aku pernah terkejar2 balik dari puncak perdana ke seksyen 8 sebaik habis kelas sebab perlu menjaga anak2 buah. Aku pernah juga buat assignment sambil menidurkan anak buah aku.

Setelah macam2 dugaan, aku still berjaya graduate dengan cemerlang. Tapi sedikit kecewa kerana aku gagal dapatkan pekerjaan dalam bidang yang aku minat. Setelah hampir 9 tahun bekerja lari bidang, kerana pandemik, aku terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak2.

Dan sekarang aku kembali kejar minat aku. Aku kembali menulis dengan harapan terubat juga kerinduan minat yang lama aku pendamkan.

Saja aku berkongsi kegigihan aku. Kalau tak aku yang nak kongsi, siapa yang nak buatkan? Orang lain tak hargai, kita hargailah diri kita sendiri.

Sekian. Maaf tulis panjang. Nak lukis tak reti

SEHARIAN

 Seharian menunggu, tiada sesaat yang membuatkan kan aku merasa lebih tua. Sejak terakhir aku mengelih, kepedihan itu berlalu segala pemboho...