Monday, June 26, 2023

SEHARIAN

 Seharian menunggu,

tiada sesaat

yang membuatkan kan aku

merasa lebih tua.


Sejak terakhir aku mengelih,

kepedihan itu berlalu

segala pembohongan semakin adem

seharian kurasa

apa pun bertenggang aku hadapi.


Segala yang terpisah,

semuanya serempak

kini kembali

seharian menanti

ia tetap masih bersama.


Thursday, May 4, 2023

DUIT RAYA

 DUIT RAYA


Menjelang petang penat beraya,

aku duduk berehat seketika

terdengar budak-budak di luar bertelagah

aku memasang telinga mencuri dengar

rupanya kerana duit raya.


Mereka bergaduh berlawan kata,

ada masalah yang mendapat lebih

ada masalah salah mengira

ada masalah duit yang kedut

ada masalah pemberi kedekut.


Aku tersenyum bercampur sedih,

sekecil ini berbicara tentang duit

ketika muda sudah diajar

duit itu perlu dikejar

hingga sanggup berkurang ajar.


Sunday, April 2, 2023

BUNGA DAN AKU

 

BUNGA DAN AKU

 

Berikan aku bunga,

yang kecil dan segar

bunga yang benar

bunga yang terlindung

daripada dipandang mata jahat

daripada dicakar jiwa sesat.

 

Ambilkan aku bunga itu,

larikannya daripada diseksa

berikan aku untuk disimpan

menghargai segala keajaiban

yang telah lama bunga simpan.

 

Petikkan bunga itu,

bawanya turun daripada kesuraman,

bawanya turun daripada kepedihan.

 

Dan jika salah aku memiliki bunga,

maka salah itu manis sekali

kerana haruman bunga itu

memberi rasa bahagia selalu.

Tuesday, February 21, 2023

BERBICARA DENGAN ORANG YANG MEMENTINGKAN DIRI



Satu hari aku diberikan tugas,

untuk keluar membuat tinjauan

bersama seorang rakan pejabat

yang tidak begitu disenangi ramai.


Aku hanya mampu bersetuju,

kata ketua perlu diturut

pergilah aku bersama si dia

yang dikata suka mementingkan diri.


Tiba di lokasi kami bekerja,

panas terik terasa bahangnya

kelihatan ada sebuah kerusi

dia ambil tanpa ragu

dengan yakin dia berkata

“Aku duduk, kau berdiri sahaja.”


Terdetik aku ingin menasihati,

maka aku pun berkata

“Tahukah kau apa yang kau lakukan sedikit kurang ajar?”

dia pun terpinga

aku menyambung lagi

“Jika aku, aku pasti akan memberikan kau duduk, dan aku pula yang berdiri.”


Mendengar kataku berkerut dahinya,

kemudian dia berkata

“Itulah yang aku lakukan, kau berdiri dan aku duduk. Bukankah itu yang kau mahu?”


Aku hanya mengeluh panjang,

tersenyum tapi terasa sakitnya hati

berbicara dengan orang yang mementingkan diri.


Wednesday, February 8, 2023

IMPIAN



Impian,

Ia menimbulkan rasa keinginan

Ia memanggil terai kegilaan

Ia menyalakan api kebangkitan

Ia mengajar erti pengorbanan

Ia mengundang sebak tangisan

Ia mengukir sebuah senyuman

Ia membuat segar terjaga

Ia juga membuai lena.


Monday, January 30, 2023

KETIKA AKU BERBICARA TENTANG MIMPI

 

Ketika aku berbicara tentang mimpi,
kau minta aku berhenti
kerana katamu
mimpi itu hanya mimpi
hanya mainan tidur malam yang sepi
Tibalah satu hari
ketika mimpi menjadi realiti
kau datang menunjukkan diri
meminta aku bercerita kembali
ketika itu
aku tidak mahu berbicara denganmu lagi

Friday, January 20, 2023

Kita kena sedar

 Kita kena sedar,

Dalam hidup seseorang,

Kita tidak penting,

Dan bukan keutamaan,

Kita kena sedar,

Dalam hidup seseorang,

Walau kita berkorban,

Masih tetap berlaku pengkhianatan.

Moga semuanya kesedaran.

Wednesday, January 4, 2023

harap?

 Kalau dulu aku mengharap mewah,

Kerana susah itu sukar,

Kini aku hanya berharap tenang,

Kerana aman itu lebih nyaman.

Wednesday, January 12, 2022

Milikku



Ini impianku,

Ini kenanganku,

Ini mataku,

Ini hatiku, 

Ini nafasku,

Ini tangisanku,

Ini senyumanku,

Ini kesedihanku,

Ini minatku,

Ini harusku,

Ini lakuku,

Ini hadapanku,

Ini pandanganku,

Ini semuanya,

Milikku










salah si anak kera

 Bila anak kera dikutuk kutuk,

Tak tahu dibela,

Tak tahu dijaga,

Tak tahu dipelihara,


Bila anak kita dikutuk kutuk,

Anak kera salah,

Anak kera salah,

Anak kera salah.


Bila ditanya mengapa kera dihutan dikutukkan,

Mengapa anak sendiri terbiar tak makan,

Dijawab anak kera yang mencari perhatian


Anak kera yang salah,

Anak kita pun salah,

Semua pun salah,

Yang tak salah, kita.

Tuesday, January 11, 2022

Kisah Cinta Tidak Logik

 


“AZRIF!!!”

Jerit seorang guru disiplin dari tingkat dua bangunan sekolah. Kelam kabut guru itu berlari hendak turun tangga dengan kapur penuh di wajahnya.

Kelihatan seorang pelajar lelaki di tingkat bawah, mendongak melihat guru itu, lalu berlari meninggalkan kawasan tersebut. Dia yang segera mendapatkan rakan-rakannya,  gelak lucu mengenangkan gelagat gurunya tadi.  Mereka berlima berlari keluar dari sekolah. Sedang pelajar-pelajar lain menunggu ibu bapa mereka mengambil di depan pagar sekolah, Azrif dan rakan-rakannya yang lain turun lepak di sebuah pusat permainan di Mall berdekatan sebelum pulang ke rumah masing-masing. Sebelum ke pusat permainan itu, mereka berlima sempat menukar baju kepada kemeja T, kerana berpakaian baju sekolah dilarang masuk.

“Wey, apa kau buat dengan cikgu Kamil tadi?” soal salah seorang dari rakan Azrif.

“Alah, tak ada pelah. Dia denda aku suruh bersihkan blackboard, aku bersihkan jelah. Aku kumpul kapur dekat pemadam tu, aku letak atas meja dia. Aku agak dah dia mesti suka tepuk pemadam tu. Tu yang habis muka dia penuh kapur.” Cerita Azrif gembira seperti perkara yang dilakukannya itu bukanlah sesuatu yang salah.

“Kau gila, esok conform kau kena teruklah dengan dia.”

“Bilanya yang aku tak kena teruk. Aku tak buat salah pun kena. Baik aku buat salah je. Tah apa dia dengki sangat dengan aku.”

“Mana dia tak dengki, asal dia mengajar dalam kelas, kau asyik menjawab je apa dia ajar. Tercabar “kecikguan” dia.”

Gelak besar mereka berlima di situ. Pelik memikirkan perangai si Azrif, pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki SPM pada akhir tahun ini. Bukannya tak pandai, hebat dalam pembelajaran. Tapi sikapnya yang suka melawan dan memberontak, serba sedikit menjengkelkan hati guru-guru yang selalu rasa tercabar dengannya. Ibu bapa Azrif suka menegurnya, supaya menjadi lebih penyabar. Yalah, guru itu yag memberi ilmu. Takut-takut, ilmu itu lama-lama tidak berkat. Tapi Azrif ni masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Tiada apa lagi yang mampu membuatkan pelajar lelaki ini menjadi lebih penyabar dan mempunyai matlamat dan tahu erti tanggungjawab.

Sedang Azrif seronok bermain bersama rakan-rakanya di tempat itu, lalu seorang  gadis bertudung merah jambu, berpakaian kemas, kemeja kolar dan skirt labuh, berjalan memasuki sebuah butik pengantin berhampiran. Wajahnya yang manis, semanis senyumannya, terus menangkap pandangan mata Azrif setiap kali gadis itu lalu di situ.

Seperti biasa, Azrif akan berpura-pura membeli makanan jepun di hadapan butik itu untuk mengambil masa memerhatikan gadis itu. Apa yang Azrif tahu, gadis itu merupakan anak kepada pemilik butik tersebut. Dari mencuri perbualan di situ, Azrif mendapat tahu yang gadis ini bakal mewarisi butik tersebut dan sedang mempelajari pengurusan butik di Mall ini kerana terdapat satu lagi butik yang diuruskan oleh kakaknya. Dan dari mencuri dengar perbualan itulah, Azrif berjaya mengetahui nama gadis berumur 22 tahun itu.

Farah! Gadis yang mencuri tumpuan Azrif sejak awal tahun ini. Sejak butik itu dibuka di Mall ini, Azrif mulai merasakan perasaan yang berbeza. Entah kenapa gadis yang tua lima tahun darinya ini telah berjaya menarik perhatiannya. Walaupun gadis ini berusia darinya, Azrif melihat Farah seperti masih lagi pelajar sekolah kerana tubuhnya yang kecil serta raut wajahnya seperti kanak-kanak.  Telatahnya yang comel itu juga membuatkan Azrif berusaha mencari alasan untuk memulakan perbualan. Tak sangka pelajar nakal di sekolah ini, malu bila berdepan dengan seorang gadis yang diminatinya.

Tapi bukanlah kerana malu menjadi alasan utama mengapa Azrif sukar memulakan perbualan, tetapi kerana hati Farah sudah dimiliki. Teman lelakinya bukanlah sembarangan orang, tetapi orang yang sangat dikenali oleh Azrif. Gadis idamannya ini telah pun menjadi milik guru sekolahnya sendiri, Cikgu Nizam.  Cikgu Nizam sering bertandang ke butik itu untuk bertemu dengan Farah. Setiap kali itulah, hati Azrif seperti panas dan membara melihat mereka berdua berbual mesra.

Namun, kadang-kadang terdetik juga di hati Azrif apabila melihat padangan Farah kepada Cikgu Nizam tidak seperti pandangan orang yang sedang berkasih. Begitu juga di pihak Cikgu Nizam. Kadang-kadang Azrif berjaya menangkap Farah seperti mengeluh apabila Cikgu Nizam beredar dari butik tersebut, dan sesekali apabila mereka bergaduh, Farah seperti termenung panjang memikirkan sesuatu. Walaupun situasi itu membuatkan Azrif gembira di hati kecilnya, namun begitu, ingin benar Azrif mendekati dan mendalami perasaan gadis idamannya itu.


“Nizam, tak boleh ke I nak teruskan minat I ni? You pun tau I memang nak buat semua ni. Mak I pun percayakan I.” Lembut Fara berbicara.

“I tau you minat nak uruskan butik ni. Tapi I tak nak isteri I tak ada masa nak uruskan rumah tangga. Macamlah I tak tau kebanyakkan orang yang jadi pengurus butik macam Mak you tu tak ada masa sangat. 24/7 fikir hal butik ni je.”

“You tetap dengan keputusan you nak suruh I jadi surirumah ke lepas kita kahwin?” nada mengeluh mulai kedengaran dari Fara.

“Kalau boleh, itulah yang I nak...” tegas Nizam.



Kalau boleh itulah yang Nizam hendakkan. Fara hampir setiap kali termenung mengenangkan kata-kata buah hatinya itu. Pada saat Nizam melamarnya untuk dijadikan isteri, kegembiraan Fara melonjak tinggi hingga ke langit. Namun saat Nizam meluahkan keinginannya untuk Fara menjadi surirumah, kegembiraan itu mulai perlahan turun hampir ke tanah.

Impian Fara sejak dari kecil lagi ingin memiliki sebuah butik yang penuh dengan busana rekaannya. Malahan sejak di usia muda Fara dibesarkan di butik milik ibunya, minat itu tertanam sendiri . Fara gemar benar dengan fesyen. Bermula dengan sebuah butik pengantin, Fara ingin membuka pula sebuah butik pakaian kasual. Impiannya disokong keluarganya, terutama ibu Fara sendiri. Tapi sayang, insan yang bakal Fara mendirikan rumah tangga pula yang tidak bersamanya dalam mengejar impian ini.

Tempoh pengenalan Fara dan Nizam, tidaklah begitu lama, dan tidaklah begitu baru bagi pasangan bercinta yang mahu berkahwin.  Setelah setahun menjalinkan hubungan cinta, Nizam melamar. Ketika itu, Fara benar yakin bahawa Nizamlah insan yang dicarinya selama ini. Namun begitu, setelah makin lama, makin mengenali, jauh benar sangkaan Fara pada Nizam. Nizam mulai memaparkan sikap-sikap yang tidak Fara lihat sebelum ini. Mungkin bila sudah berasa “selamat”, Nizam mula menjadi “diri sendiri”.


“Hai...entahlah...” keluh Fara sendiri.  Fara berjalan keluar dari Mall tersebut mendapatkan kereta Viva yang diletakkannya tidak jauh dari pintu masuk. Fara berjalan dengan langkah yang lemah longlai. Dua tiga menjak ini, sering berlaku perselisihan dan pergaduhan antara Fara dan Nizam. Fara cukup tidak suka bila bertengkar. Badannya terasa sakit dan segala selera hilang. Perbincangan yang sama terjadi. Berkenaan hal kahwin dan impian.


“Kalau fikir sayang...memanglah sayang...tapi, impian aku dari kecil..dari dulu lagi. Sanggup ke aku korbankan semua tu untuk dia? Ah...pening kepala aku...aduh...apa ni...apa yang aku kena buat sekarang. Benar ke bila sayang kita sanggup buat apa saja untuk orang tu. Atau mungkin...aku sebenarnya tak begitu sayangkan Nizam..atau Nizam yang tak sayang aku. Sebab tu dia sanggup suruh aku korbankan impian aku....” Fara merebahkan kepalanya di tempat duduk kereta. “Apa harus aku buat sekarang...” Sayu rasa hati Fara. Kepalanya mulai berpusing. Pandangannya kabur. Berat matanya untuk dibuka. “Ya Allah, bantulah aku...kenapa begini terasa seksanya. Ya Allah, berikanlah petunjukMu...”



Ramai orang berkerumun di sebuah kereta yang berbunyi honnya dari tadi. Azrif dan rakan-rakannya juga cuba menolong membawa keluar gadis yang kelihatan tidak sedarkan diri di dalam kereta tersebut. Mereka mencuba membuka pintu kereta tersebut. Takut untuk memecahkan tingkap kereta kerana risau mencederakan pemandu di dalamnya. Sebaik sahaja Azrif mengenal pasti siapa gadis yang berada di dalam kereta itu, tanpa ragu-ragu, Azrif terus merosakkan pintu kereta tersebut untuk membukanya.

Apabila pintu berjaya dibuka, Azrif terus mendukung gadis itu dan membawanya masuk kembali ke Mall, kerana di dalamnya terdapat sebuah klinik. Rakan-rakan Azrif yang melihat segala tindakan Azrif yang tidak berfikir panjang itu mulai hairan mengapa begitu semangat sekali Azrif membantu anak pemilik butik yang terletak di tingkat bawah Mall itu.



Perlahan-lahan, Fara membuka matanya. Semakin lama, semakin jelas. Fara melihat ke kanan, kelihatan wajah ibunya sedang khusyuk menanti Fara terjaga. Di sebelah kirinya pula, kakak dan anak buahnya sedang duduk menanti dengan penuh sabar.

“Nak, macam mana sayang? Okie?” Lembut suara ibu Fara bertanya.

“Kenapa ma? Kenapa dengan Fara?” soal Fara kembali.

“Kamu pengsan, Nak. Pucat muka kamu tadi masa ma sampai.”

“Ha? Pengsan? Bila? Kat mana?” terkejut Fara mendengar berita itu.


 Barulah Fara tahu yang sebenarnya dia pengsan di dalam kereta sebentar tadi. Sedang kepalanya runsing, hatinya gelisah, Fara terlupa untuk menjamah makanan dari pagi. Pertengkarannya dengan Nizam sejak malam semalam membuatkan Fara tidak lalu untuk minum seteguk air pun. Akibatnya, Fara menjadi lemah tanpa dia sendiri sedari. Fara menjadi terlalu letih, badannya tidak bermaya menyebabkan dia berada di sebuah hospital. Pada mulanya seorang pelajar lelaki membawa Fara ke klinik, tetapi apabila melihat Fara memerlukan bantuan yang lebih, Fara terus dihantarkan ke hospital.

“Doktor nasihat Fara rehatlah dalam seminggu ni. Mungkin penat kerja kut. Stress ke nak? Janganlah sampai tak makan. Risau ma macam ni.”

“Tak ada pelah Ma. Fara okie je. Fara penat je ni.”

“Bahaya nak tak makan ni. Selamat kamu pengsan dalam kereta ada orang nampak. Kalau tengah drive ke, macam mana?

 Mendengar ibunya berkata begitu, Fara tertanya siapakah gerangan yang melihat dirinya tidak sedarkan diri tadi dan sudi membantu membawanya ke klinik. Fara mengetahui dari ibunya bahawa orang yang menolongnya tadi adalah seorang budak sekolah. Pelajar itu bernama Azrif, dan bersekolah di sekolah yang berhampiran Mall tempat butik Ibu Fara. Pelajar ini berada di tingkatan lima.

“Baik budaknya...nampak dia macam risau pula dengan kamu. Kamu kenal dia ke Fara?” soal ibunya.

“Eh, tak adalah ma. Dengan budak sekolah mana je yang Fara ada kawan. Budak nama Azrif ni tak ada cakap apa-apa lagi ke pada mama?” soal Fara pula.

“ Dia Cuma cakap dia nampak Fara pengsan dalam kereta sebab dia dengar bunyi hon kereta Fara tak berhenti bunyi. Dia lari ke kereta, dia nampak Fara dah terbaring atas steering kereta.”

“Yeke ma? Ya Allah, Fara memang tak sedarlah. Selamat budak tu nampak ye. Dia dah balik ke ma?”

“Ada lagi kat lobby hospital ni. Rasanya dia tunggu kau sedarlah tu. Gaya macam kenal kau je.” Sampuk kakak Fara.

Tiba-tiba hati Fara berdebar. Mengapa pun tidak tahu. Sebaik sahaja doktor memberitahu bahawa Fara boleh pulang ke rumah, dan memberi senarai ubat yang harus diambil di farmasi hospital, semakin berdebar hati Fara. Entah kenapa dia berasa segan untuk bertemu pelajar lelaki yang membantunya itu. Fara tahu yang pelajar lelaki bernama Azrif itu masih berada dibawah menanti.

“Kenapa aku tiba-tiba rasa malu ni nak jumpa budak sekolah? Heh...heee...kenapa ni?” fikir Fara di dalam hatinya.



Azrif yang duduk bersama rakannya Razak di lobby hospital, mula getar kakinya dan tidak sedap di perut bila melihat kakak Fara sudah pun turun di kawasan itu. Hal ini bermakna Fara juga akan menyusul bersama dengan ibunya sebentar saja lagi. Ibu Fara telah pun memberitahu Azrif bahawa Fara ingin berjumpa dengannya untuk mengucapkan terima kasih.

“Bro...tu...tu...dia dah turun dengan mak dia...” Razak menunjuk sambil memberitahu Azrif.

Gulp! Beberapa kali air liur Azrif ditelan. Sesekali dia menepuk bahu Razak. Razak hanya tersenyum melihat gelagat rakan baiknya itu berasa segan.

“Apa dah...konon samseng, jumpa perempuan bapak segan.” Razak menahan dari gelak besar.



Perlahan-lahan langkah mereka menghampiri diri masing-masing. Semakin hampir, semakin laju debaran yang mereka rasakan.

“Ha...inilah Azrif. Ni kawan dia Razak.” Ibu Fara memperkenalkan mereka berdua.

Azrif dan Fara hanya terus bertentang mata. Pandangan mereka dibalas dengan senyuman, hendak dibalas dengan salam, berat tangan mereka untuk diangkat.

“Hai, Saya Fara. Thank you, for everything. Thank you so much.” Fara memulakan perbualan, walaupun jelas nada gemuruh pada suaranya.

“Eh...tak ada apa...” tiba-tiba suara Azrif “terpenyet” sedikit. Razak sudah menutup mukanya menahan ketawa. “Maksud saya, sama-sama. Saya cuma membantu mana yang termampu.”

“Saya rasa saya macam pernah nampaklah awak. Awak budak sekolah Sri Cemerlang ye?” soal Fara.

“Ha’ah...saya sekolah situ. Dekat je dengan tempat kerja cik Fara.”

“Eh? Mana awak tahu saya kerja mana?”

Perbualan seterusnya memerangkap Azrif sendiri. Satu demi satu, jawapan Azrif membuatkan Fara makin tertanya. Siapa sebenarnya Azrif? Mengapa dia seakan mengenali Azrif walaupun mereka tidak pernah berkenalan sebelum ini.



“Hey, you menung apa ni?” sergah Nizam.

Melihatkan Fara yang termenung panjang di mejanya, Nizam mulai merasa hairan. Fara terkejut. Tiba-tiba sahaja Nizam hadir di depan matanya.

“Eh, you buat apa dekat sini?” soal Fara.

“Hai, I datang nak jumpa you lah. Kenapa? Dah tak suka I datang? Marah lagi dengan I?”

“Tak adalah. I okay je. You datang nak jumpa I kenapa?”

“I nak jumpa you! Sejak dari hari tu kita gaduh, you dah macam malas nak layan I je. Nak tak nak je jawab call I, sms pun dah jarang. Ni I datang, tak pernah pula sebelum you tanya kenapa.” Nizam cuba mencari jawapan terhadap perubahan Fara.

Ya, sejak pertemuan Fara dengan Azrif tempoh hari, Fara seperti berjumpa dengan teman baik yang baru. Tindakan Fara memberikan nombor telefonnya kepada Azrif, ternyata memberi peluang kepada Azrif untuk mengenali Fara dengan lebih lagi. Tanpa Azrif ketahui, itulah yang diharapkan oleh Fara. Entah kenapa Fara merasakan Azrif sangat istimewa. Tingkah laku dan sikapnya yang pandai mengambil hati serta mengambil berat perihal Fara, membuatkan hati gadis ini mulai terusik. Jauh sekali perasaan ini bersama dengan Nizam.

“Sebelum you nak kata I ni dah lain dengan you, boleh I tanya kenapa you tak nak ambil tahu hal I sakit masuk hospital hari tu?” Fara membalas Nizam.

Nizam tersentak. Tapi seperti biasa, ada saja alasan sebagai jawapan untuk membela dirinya.

“Bukan I yang tak nak ambil tahu. I sms or call, you yang tak reply.”

“Dah I tengah sakit, You tahu kan I tak larat. Apa salahnya you datang jumpa I, or at least tanya dengan kakak I ke, mama I ke. Ni tidak, you tunggu I juga beritahu. Kalau tak, sampai sekarang you takkan tanyalah apa jadi dengan I.” Fara membalas. Dia meluahkan segala perasaan marahnya kepada Nizam. Lama dia menyimpan, akhirnya meletup juga. “You memang tak sayangkan I sebenarnya, sebab tu you tak ambil tahu pun hal I.”

Nizam makin tersentak. Semakin lama kata-kata Fara begitu pedih untuk didengar. Walaupun begitu, Nizam akui kebenaran kata-kata Fara. Tapi egonya yang tinggi, menafikan segala yang diperkatakan oleh Fara. Sekali lagi, pergaduhan terjadi. Pertengkaran yang besar berlaku. Lebih hebat, lebih melemahkan Fara menghadapinya.

Fara menghubungi Azrif. Mengajaknya keluar minum, mengharapkan teman untuk berbual. Dalam sekelip mata Azrif tiba untuk menenangkan Fara. Walaupun Fara tidak menceritakan masalahnya, dan Azrif juga tidak pernah memaksa Fara untuk bercerita. Tetapi, antara ayat yang sering membuatkan Fara tenang dan senang bersama Azrif ialah...

“Fara, awak okie ke?”

“Fara, kalau ada apa-apa, ceritalah dengan saya, okay?”

“Fara, tak care. Jaga diri baik-baik ye.”

Jauh sekali Fara ingin dengar semua itu dari mulut Nizam. Kadang-kadang buat Fara terfikir, apa sebenarnya yang membuatkan Fara terpikat dengan Nizam pada mulanya. Selain dari wajahnya yang teramatlah tampan itu, ada atau tidak sikap Nizam yang lain, yang membuatkan Fara benar-benar menyayanginya. Azrif mungkin tidaklah setampan Nizam, tetapi sikapnya yang pandai mengambil hati itu menyentuh hati Fara.  Kalau difikirkan umur, walaupun Azrif jauh lebih muda, entah kenapa Azrif jauh lebih matang tingkahnya dari Nizam.


“BERANI YE AWAK KELUAR DENGAN TUNANG CIKGU SENDIRI?!!! AWAK NI MEMANG KURANG AJAR!!!” Tengking Nizam kepada Azrif di dalam bilik disiplin.

Pertemuannya dengan Fara di sebuah restoran berhampiran Mall telah berjaya dicuri pandang Nizam. Keesokan harinya, Nizam terus memanggil Azrif dari dalam kelas, dan membawanya ke bilik disiplin. Berbagai kata-kata maki dan keji keluar dari mulut Nizam, tetapi hairan, Azrif tidak membalas.

Barangkali Azrif sendiri menyedari itu memang salahnya. Mencuba mendekati hati tunangan orang. Azrif diam, hendak mengucapkan maaf pun seakan malu. Hilang sekali egonya sebagai seorang pelajar yang nakal di sekolah. Sejak Azrif berjaya menjadi seorang yang rapat dalam hidup Fara, Azrif berubah sama sekali. Dia lebih menumpukan perhatian dalam kelas, dan juga tidak lagi mengusik sesiapa. Pertemuannya dengan Fara, seakan mengajar Azrif erti tanggungjawab.

“SEKARANG NI, SAYA NAK AWAK JANGAN DEKAT DENGAN FARA LAGI! FAHAM? KALAU SAYA TAHU AWAK DENGAN DIA ADA APA-APA LAGI, SIAP AWAK!”

Amaran Nizam itu jelas dan terus masuk ke telinga Azrif. Azrif tidak mampu berkata apa. Azrif merelakan saja kemarahan Nizam itu dilepaskan padanya.



Sebaik sahaja habis waktu persekolahan, Azrif datang bertemu dengan Fara mengatakan hasratnya untuk tidak lagi meneruskan perhubungan mereka berdua. Fara bertanyakan kenapa beberapa kali, tetapi Azrif enggan memberitahunya. Azrif berlalu meninggalkan Fara terpinga-pinga. Fara terduduk, pedih rasa hatinya. Tidak sanggup rasanya untuk dia kehilangan Azrif. Walaupun hubungan mereka masih lagi bernamakan teman, tetapi Fara sudah pun menganggap Azrif sangat istimewa dihatinya.

Fara tahu, ini mesti berlaku kerana Nizam. Pasti Nizam yang memaksa Azrif untuk melakukan semua ini. Siapa lagi kalau bukan dia. Nizam pun adalah guru kepada Azrif. Tentu Azrif telah dimarahi Nizam disekolah pagi tadi. Fara memberitahu pekerja butiknya bahawa dia keluar sebentar untuk mencari Nizam. Dengan segera Fara memandu menuju ke sekolah Sri Cemerlang, Fara yakin pasti Nizam masih ada lagi di pejabat ketika ini.


“You yang sound budak tu kan?” soal Fara tegas.

“Mana you tahu? Maybe budak tu memang nak main-main dengan you je ke? Alah, you, budak-budak, playboy, tak matang lagi tu.” Seloroh Nizam.

“Sudahlah you. I tahu, mesti you yang suruh dia jangan kawan dengan I lagikan.” Tegas Fara lagi.

“Habis tu, kalau I yang suruh pun, kenapa? Yang you nak sangat kawan dengan budak sekolah tu kenapa?”

“Suka hati I lah. I suka kawan dengan dia. Yang you suddenly care pasal hidup I ni kenapa? Tak pernah pula you ambil tahu selama ni.”

Nada Fara semakin tegas. Nizam mulai risau. Tidak pernah Fara bersikap sebegini. Nizam cuba menurunkan egonya, walaupun dia sendiri tidak suka dengan keadaan ini. Nizam mulai rasa takut jika Fara akan meninggalkan dirinya untuk pelajar lelaki itu.

“You, I sayang you. I risau you kawan dengan dia. I tak nak kehilangan you sayang.” Nizam menggunakan nada memujuk.

“You sayang I? Kalau betul you sayang I, you bagilah I kerja lepas kita kahwin nanti. I tak nak jadi surirumah.” Fara cuba mengungkit.

“You, I kan dah kata, I tak nak you kerja. I nak you duduk rumah. I tak nak isteri I tak ada masa untuk keluarga.” Nizam kembali tegas.

“Mana you tahu I tak boleh manage I punya time, Nizam. You tak percayakan I ke?”

“Alah, I tengok mama you pun I dah tahu. Kalau tak, takkan parents you boleh divorce.”

PANG! Sekali satu tamparan wanita hinggap di pipi Nizam. Ketika ini Fara begitu marah dan benci melihat Nizam di depannya. Fara menanggalkan cincin yang pernah diberikan Nizam sebagai tanda pertunangan mereka, lalu dicampakkan ke muka Nizam.

“I HATE YOU!” jerit Fara, lalu berjalan meninggalkan Nizam. Nizam mendapatkan Fara, dan masih lagi cuba memujuk. Beberapa kali Fara dihalang keluar dari pejabat oleh Nizam, Fara menolaknya juga. Fara menangis merayu supaya dilepaskan dirinya. Akhirnya Fara berjaya juga melepaskan diri, dan berlari meninggalkan Nizam seorang diri.




Fara menangis tidak berhenti, sepanjang dia memandu dari sekolah itu hingga ke butiknya. Orang ramai yang melihat pun tidak dihiraukan. Teresak-esak, sakit hatinya mendengar kata-kata Nizam tadi. BIarlah Fara hidup seorang diri dari berteman tetapi menyakitkan hati. Fara mahukan teman yang benar-benar memahaminya. Bukan yang sering membuat hatinya sedih. Fikir Fara, rela lagi dia hidup sendiri sekiranya hidup bercinta itu tidak menggembirakan hatinya. Fikir Fara lagi, pasti dia akan keseorangan selepas ini. Tapi Fara tidak tahu apa yang menantinya di hadapan butik.

Setiba Fara di butik ibunya, Fara melihat Azrif berada di situ. Masih lagi berbaju sekolah, berkeadaan seperti mana kali terakhir mereka bertemu tadi. Wajahnya pucat dan sayu. Berdiri di tepi pintu butik, menunggu, dengan wajah yang kerisauan. Fara menghampiri Azrif dengan wajah yang terpinga. Azrif terus mendapatkan Fara. Apabila dia melihat Fara sedang menangis, terus Azrif membawa Fara masuk ke dalam butik. Dia memastikan Fara duduk di kerusi, mengambilkan air untuk Fara minum, lalu diurut-urut belakang Fara untuk menenangkannya.

“Fara, awak okie ke?” tanya Azrif lembut.

“Awak, buat apa dekat sini?” soal Fara yang masih terkejut melihat Azrif masih ada di situ.

“Saya nak minta maaf. Saya tak patut putuskan persahabatan kita macam tu je. Saya risaukan keadaan awak.”

“Kenapa...kenapa awak risaukan saya?” soal Fara lagi.

Azrif terdiam sebentar. Dia menarik nafas panjang, lalu memandang mata Fara, “Sebab saya sayangkan awak...”

Fara tersenyum.

Barangkali ini bukanlah saat untuk Fara terfikir yang dia akan hidup keseorangan. 


SEHARIAN

 Seharian menunggu, tiada sesaat yang membuatkan kan aku merasa lebih tua. Sejak terakhir aku mengelih, kepedihan itu berlalu segala pemboho...